Kemudian beliau memasuki sebuah madrasah yang melatih bakal hakim, guru, dan pembantu rumah sakit. Setelah memasuki madrasah berkenaan beliau didedahkan dengan kesusasteraan Perancis khususnya hikayat pengembaraan dan hikayat timur.
Beliau berasal daripada keluarga yang sederhana, namun berjiwa besar. Semasa melanjutkan pengajian diperingkat tinggi di Constantine, beliau sempat bertemu dengan Syeikh Abdul Majid dan Profesor Martin. Tokoh inilah yang banyak mempengaruhi pemikiran dan pembentukan sahsiah diri.
Setelah tamat pengajian, beliau pernah beberapa kali berkunjung ke Perancis. Seterusnya pada tahun 1930 beliau melanjutkan pengajian di Kolej Kejuruteraan. Setahun kemudian beliau berkahwin dengan wanita Perancis yang telah memeluk Islam. Semasa belajar, beliau terlibat dalam pelbagai Gerakan Pembaharuan. Di sinilah beliau banyak mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam serta mengikuti perkembangannya sama ada dari dalam atau luar Algeria seperti di Mesir, Hijaz, dan Maghribi.
Malik juga pernah menjawat jawatan Pegawai Pendaftar Mahkamah di Huran. Dalam tempoh itu beliau berpeluang bertemu dengan masyarakat untuk mengetahui masalah mereka yang berada di bawah penjajahan Perancis. Setelah Algeria merdeka pada tahun 1963, beliau menyandang jawatan Pengarah di Kementerian Pendidikan sehingga tahun 1967.
Berdasarkan sejarah awalnya, Malik tidak berhasrat untuk menjadi seorang ahli falsafah, namun perkembangan dan keadaan semasa mengubah segala-galanya. Keadaan ketika itu telah memberi kesan mendalam dalam diri dan keperibadian beliau. Pengalaman itu memberi inspirasi kepadanya dalam memperjuangkan Islam dan meninggikan ummah dan bangsa.
Sebenarnya, perjalanan hidup beliau semasa penjajahan Perancis menyedarkannya tentang kemunduran masyarakat Islam. Lebih-lebih lagi mereka cuba mengubah identiti dan thaqafah atau nilai-nilai kebudayaan Islam dalam diri masyarakat Islam. Keadaan ini menyebabkan beliau mahu membebaskan pemikiran penjajah dalam jiwa rakyatnya.
Malik mempunyai minat yang mendalam dalam mempelajari dan membaca karya yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh terkenal. Oleh sebab itu, karya-karya tokoh Islam seperti Syeikh al-Maulud bin al-Mauhub, Ibn Hasib dari Algeria, dan pemimpin Mesir seperti Muhammad Abduh secara tidak langsung telah mempengaruhi pemikiran beliau.
Selain itu, buku Risalah Tauhid karya Muhammad Abduh dan Keruntuhan Akhlak dalam Politik Barat oleh Rashid Redha, telah menyedarkan Malik tentang masalah umat Islam. Masalah keruntuhan akhlak dan kemiskinan intelektual yang semakin ketara perlu diselamatkan.