Pada suatu hari dalam bulan Ramadan tahun kedua Hijrah, Nabi Muhammad mendapat tahu bahawa satu kafilah perdagangan Quraisy
yang diketuai oleh Abu Suffian dalam perjalanan balik dari Syam menuju Makkah melalui Madinah. Kafilah perdagangan kali ini
adalah yang terbesar kerana melibatkan saham hampir semua penduduk dan pembesar Makkah. Dipercayai antara barang-barang
yang diperdagangkan itu termasuk hasil rampasan harta benda kaum Muslimin sebelum atau selepas berhijrah. Hampir semua Muslimin
yang berhijrah tidak dibenarkan membawa sedikit harta. Pada pendapat Rasulullah, inilah masanya untuk kaum Muslimin
merampas balik harta benda mereka dan membalas perbuatan zalim terhadap mereka dahulu. Lagipun rombongan Abu Suffian itu melalui
kawasan Madinah yang kini kepunyaan Muslimin. Namun, persediaan untuk menyekat dan merampas harta benda musyrikin
Makkah itu langsung tidak bertujuan melancarkan peperangan ataupun pembunuhan. Abu Suffian menyedari persediaan kaum Muslimin
sebelum beliau memulakan perjalanan balik ke Makkah. Lalu beliau telah mengupah Dhamdham bin Amru, yang kebetulan menyertai
satu kafilah lain di Sahil, supaya meminta pertolongan pembesar Makkah. Sementara itu, beliau sendiri mengambil jalan alternatif
menyusuri pantai yang lebih jauh. Apabila berita ini sampai kepada pengetahuan pembesar Makkah, terjadilah perbezaan
pendapat yang hebat di kalangan mereka. Abu Jahal telah melobi penduduk-penduduk Makkah supaya menghimpunkan kekuatan tentera
untuk menyerang kaum Muslimin. Manakala pihak lain pula menentang, lalu tidak mahu memulakan kempen ketenteraan, sebaliknya
sekadar berusaha memastikan keselamatan rombongan dagang mereka sahaja. Pada mereka, sekatan yang dibuat oleh kaum
Muslimin tidak akan melibatkan pertumpahan darah. Dalam masa yang sama, timbul rasa takut dan rasa bersalah kerana mereka
menyedari kesilapan dan kezaliman mereka terhadap kaum Muslimin dahulu. Ketika itu kaum Muslimin masih lemah dan mereka saperti
dinafikan hak di tanah air sendiri. Kini mereka sudah kuat maka wajarlah mereka membalas perbuatan tersebut dan mengambil
balik hak mereka yang dirampas dahulu.
Kempen peperangan oleh pembesar Quraisy
Abu Jahal meneruskan lobi jahatnya supaya penduduk Makkah keluar mengisytiharkan perang terbuka terhadap kaum Muslimin. Antara
yang bersependapat dengan beliau termasuklah Uqbah bin Abu Muit, Nadr bin Harith, Suhail bin Amru, Zamah bin Aswad. Abas bin
Abdul Muttalib, bapa saudara baginda, Bani Abdul Muttalib, dan Bani Hasyim pula telah dipaksa dan diugut untuk menyokong peperangan.
Jika tidak, mereka akan dipulaukan selepas peperangan nanti. Sebenarnya Abu Lahab sendiri pun tidak menyokong peperangan
kerana dia dapat menghidu kekalahan yang bakal dihadapi lantaran persiapan yang tergesa-gesa dan tidak mempunyai sebab yang
kukuh. Beliau hanya menghantar seorang wakil. Sementara seorang pemimpin berpengaruh di Darun Nadwah, Hakim bin Hizam, juga
keberatan menyokonh kempen tersebut. Beliau adalah anak saudara kepada Ummul Mukminin Khdijah binti Khuwailid. Tambah
menghangatkan lagi keadaan, Harith bin Amir telah berperang mulut secara terbuka dengan Abu Jahal mengenai kewajaran kempen
tersebut. Moral penduduk Makkah untuk keluar berperang sesungguhnya begitu rendah, dan kebanyakan mereka dipaksa keluar.
Akhirnya, Abu Jahal dan sekutunya berjaya mengumpulkan lebih seribu orang tentera yang terdiri daripada beberpa kabilah
Arab Makkah dan sekitarnya. Sebaik sahaja bala tentera Quraisy itu sampai di Jahfah, tidak berapa jauh dari Badar, sampailah
utusan daripada Abu Suffian memberitakan rombongan mereka telah terselamat daripada sekatan Muslimin, Abu Suffian meminta
mereka pulang ke Makkah. Tindakan beradab tertib Abu Suffian ini walaubagaimanapun ditentang hebat oleh Abu Jahal.
Beliau yang terkenal dengan sikap keras hati tetap ingin meneruskan perjalanan ke Badar.
Tentera Islam tiada persiapan senjata
Abu Jahal berasa malu jika mereka mahu membatalkan perjalanan dan pulang begitu sahaja. Sekurang-kurangnya biarlah mereka
bermalam tiga malam di Badar sambil bergembira sebagai satu gertakan kepada umat Muslimin Madinah. Sebenarnya kata-kata
itu hanyalah satu helah Abu Jahal sedangkan beliau memang berhasrat untuk melancarkan peperangan terhadap kaum Muslimin.
Melihat sikap Abu Jahal itu, Bani Zuhrah yang ikut serta dalam kempen peperangan itu dengan tegas telah menarik diri dan
pulang ke Makkah. Bani Hasyim dan Bani Mutalib pun ingin turut mengambil tindakan yang sama namun, mereka diberi ancaman sekali
lagi oleh Abu Jahal. Keadaan ini menyebabkan kesatuan hati tentera Quraisy mulai goyah. Hampir separuh daripada mereka
memprotes tindakan Abu Jahal dan mereka hairan mengapa suara Abu Suffian selaku salah seorang pemimpin terhormat Quraisy boleh
tenggelam di tengah-tengah kegilaan Abu Jahal dan sekutu-sekutunya.
Persediaan tentera Islam
Berita ancaman serangan Quraisy yang cuba menggugat kestabilan negara baru Madinah tidak dapat dibiarkan begitu sahaja. Ancaman
kali ini bukan lagi ancaman bersifat individu sebaliknya lebih menyeluruh dan memang mempunyai agenda untuk menghancurkan
Islam sama sekali. Walau bagaimanapun Rasulullah saw bukanlah seorang pemimpin yang suka memaksa pengikut-pengikutnya
saperti Abu Jahal. Tambahan pula perjanjian yang ditandatangani oleh Muhajirin dan Ansar serta puak-puak Yahudi dalam Sahifah
Madinah hanya menguntukkan perikatan pertahanan negara di dalam kota Madinah sahaja, sedangkan Badar berada jauh di sempadan
wilayah Madinah. Hanya pendekatan syura dan terbuka secara konsisten yang diamalkan oleh Rasulullah saw itulah ciri
kepimpinan yang wajar dicontohi. Bagaimanapun pertanyaan pendapat oleh baginda sama ada mahu menghadapi serangan tentera Quraisy
atau mengejar jejak kafilah Abu Suffian disambut secara berbelah bahagi oleh kaum Muslimin. Namun Allah swt tidak membiarkan
Rasul-Nya dan umat Muslimin mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Pada masa itulah turunnya wahyu yang antara
lain bermaksud, Saperti mana Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkan kamu dari rumahmu demi kebenaran, meskipun sebahagian kecil
dari orang-orang yang beriman itu tidak suka (turut berjuang).
Rasulullah hulur salam perdamaian
Syeikh al-Mubarafurri mengulas bahawa hujan lebat yang turun itu adalah untuk membersihkan persekitaran kaum Muslimin daripada
najis dan kotoran. Secara spiritual hujan itu telah menjauhkan mereka daripada gangguan syaitan, kerana syaitan memang tidak
menyukai tempat-tempat yang bersih. Selain itu, hujan telah memampatkan pasir. Keadaan ini memudahkan pergerakan
dalam peperangan. Bayangkan kalau berlaku peperangan sedangkan pasir berdebu, tentu menyukarkan pergerakan mereka. Pada
malam itu Nabi Muhammad saw terus berdoa dan mengerjakan ibadah malam tanpa henti. Secara fizikal baginda sepatutnya turut
berehat bersama-sama tentera Muslimin untuk memperolehi tenaga yang cukup bagi menghadapi peperangan yang akan meletus bila-bila
masa sahaja. Namun, baginda hanya berehat sedikit. Fajar Jumaat 17 Ramadan tahun kedua Hijrah menyingsing jua biarpun
kaum musyrikin kencang bergolak perasaan benci, angkuh, dan hasad untuk memadamkan cahaya Allah. Namun, kaum Muslimin tenang
menghadapi pengalaman pertama mereka mengangkat senjata membela Islam. Walaupun terdapat dalam kalangan mereka pahlawan-pahlawan
gagah yang pernah terlibat dalam berbagai-bagai peperangan di era jahiliah namun, peperangan kali ini berbeza sama sekali.
Waktu itu mereka berjuang kerana ego asabiyah dan harta benda. Mereka tidak dijanjikan sesuatu ganjaran seandainya terbunuh
di medan perang. Tetapi kini mereka keluar berjihad kerana perintah Allah, Tuhan yang Maha Esa, Tuhan yang membebaskan mereka
dari belenggu syirik. Tuhan yang menjanjikan mereka balasan syurga dan nikmat syahid. Kemanisan syahid kini telah meresap
ke dalam jiwa mereka setenang wajah pagi itu. Ketika barisan kedua-dua pihak hampir kenampakan di antara satu sama
lain, kempen membatalkan peperangan masih terus berlaku dalam pasukan musyrikin sedang pasukan muslimin tenang menghadapi
perkembangan selanjutnya. Utbah bin Rabiah ipar Abu Suffian masih melaung-laungkan nasihat sambil mengenderai untanya mengelilingi
barisan tentera musyrikin. Antara nasihat Utbah yang menggoncangkan kebengisan kaum musyrikin ialah, Jika peperangan
meletus keadaannya hanya seperti menumpahkan darah kamu sendiri, kerana tentera muslimin yang akan kamu hadapi nanti tidak
lain hanyalah saudara-saudara kamu jua, satu keturunan, satu bangsa. Keturunan Quraisy yang dikagumi seluruh bangsa Arab dan
diakui sebagai kaum yang paling bertamadun. Apakah kini Quraisy akan merobek darah mereka sendiri? Setiap kali Utbah
melaungkan nasihatnya, Abu Jahal mengejeknya dengan sindiran, Utbah hanya menyeru supaya berundur kerana takut anaknya Abu
Huzaifah akan terkorban dalam peperangan itu di mata pedang kaumnya sendiri. Abu Huzaifah ialah antara pemuda-pemuda
Quraisy yang setia dengan dakwah Rasulullah saw sejak era Makkah dan pernah menerima ujian penyeksaan daripada ayahnya sendiri.
Abu Jahal menyangka sindirannya itu mampu melenyapkan pengaruh Utbah sebaliknya tentera musyrikin tersentak mendengar nasihat
Utbah. Mereka semakin membenci Abu Jahal kerana telah membuang semangat memelihara hubungan darah dan kepuakan yang menjadi
ciri semula jadi Arab jahiliah. Kata-kata Utbah mengingatkan Abdul Rahman kepada ayahnya Abu Bakar as-Siddiq sahabat
paling kanan Rasulullah saw, Umaiyah bin Khalaf teringatkan sahabat sepermainannya yang cukup setia sejak zaman jahiliah,
Abdul Rahman Ibn Auf, dan Abbas pula teringatkan Rasulullah saw, Ali bin Abi Talib, anak-anak saudaranya yang telah dilimpahkan
kasih sayang sejak mereka masih bayi, juga Hamzah adik kandungnya. Namun kebimbangan Abbas itu bukanlah kerana kekecewaan
disebabkan permusuhan agama, sebaliknya bimbang jika insan-insan sedarah sedaging dengannya itu ditimpa kemalangan ketika
berjuang menegakkan Islam. Beliau sesungguhnya telah mengisytiharkan keislaman beliau sebelum hijrah Rasulullah saw dan merahsiakan
hal tersebut demi menjaga kedudukan beliau di Makkah. Rasulullah mempunyai pandangan jauh, maka baginda tidak mendesak
sikap bapa saudaranya itu. Jadi, Abbas secara langsung menjadi pengintip kepada baginda mengenai perkembangan kaum Quraisy
Makkah. Bahkan Abbas adalah orang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan baginda ketika keluar ke Aqabah memeterai perjanjian
dengan rombongan Yasrib. Beliau hanya mampu mengetap bibir geram dengan sikap Abu Jahal sambil hatinya terus berdoa agar
kempen Utbah dan Hakim bin Hizam berjaya. Melihat konflik yang berlaku di tengah-tengah barisan Quraisy baginda Rasulullah
saw tidak mengambil kesempatan melancarkan serangan mengejut, sebaliknya sikap cintakan perdamaian baginda semakin menyerlah.
Baginda mengutus Umar Ibnu Al-Khattab, tokoh diplomasi kaum Muslimin, untuk mengajak mereka berdamai dan pulang ke tempat
masing-masing dengan selamat. Kedatangan Umar dengan salam perdamaian dan menyatakan pendirian Rasulullah saw yang
lebih suka kalau peperangan itu tidak meletus disambut dengan penuh kegembiraan oleh tentera musyrikin. Utbah, Hakim, Abdul
Rahman, Umaiyah, Abu Suffian, Alaa Ibn Hadhrami dan lain-lain begitu bersemangat menyambut salam perdamaian itu. Majoriti
tentera musyrikin bersetuju untuk pulang. Cuma, Abu Jahal dan Amir bin Hadrami yang bertindak seperti singa lapar menyergah
menolak perdamaian itu. Keadaan ini melenyapkan benih kegembiraan mereka. Abbas hairan, syaitan apakah yang telah merasuk
kaumnya sehingga Abu Jahal yang hanya mewakili suara minoriti begitu ditakuti oleh mereka? Walhal Abu Jahal bukanlah pemimpin
tertinggi di kalangan kaum Quraisy. Abu Suffian yang lebih tua, berpengalaman dan lebih dihormati itupun boleh kalah dengan
sikap degil Abu Jahal. Hancurlah sudah harapan untuk berdamai. Bahkan Amar Ibnu Hadharami bersumpah bahawa dia tidak
akan pulang selagi belum dapat membela kematian saudaranya, Amru yang terkorban di tangan kaum Muslimin suatu ketika dahulu.
Barisan tentera musyrikin menjadi kelam kabut akibat bertikam lidah sesama sendiri. Keadaan ini semakin tidak terkawal
apabila Aswad bin Abu Salamah al-Makhzumin memekik kemabukan dengan angkuh meluru ke tengah-tengah barisan tentera Muslimin
dengan tujuan memusnahkan kolah air minuman pasukan Muslimin. Tindakan berani matinya ini disambut dengan libasan pedang Hamzah
Ibnu Abdul Mutalib yang dikenali dengan jolokan Asadullah (Singa Allah). Aswad terbunuh di hujung pedang Hamzah.
|