Utbah yang asalnya bersikap mahu mencari perdamaian tiba-tiba berubah menjadi pembengis sekelip mata. Hakim cuba menyejukkan
kembali hatinya namun tidak dihiraukan. Beliau berasa tercabar apabila melihat kematian Aswad di tangan Hamzah, semangat jahiliah
membakar dirinya. Abu Jahal cukup gembira dengan perkembangan ini. Utbah bersama adiknya Syaibah bin Rabiah dan anaknya
Walid bin Utbah tampil mencabar perang tanding di garisan pemisah. Cabaran mereka disambut oleh Ubaidah bin Harth, Hamzah
dan Ali bin Abu Talib. Perang tanding berakhir dengan kekalahan di pihak Quraisy walaupun Ubaidah tercedera dan menghembus
nafas terakhir di pangkuan Rasulullah tidak lama kemudian. Kematian tiga orang panglima Quraisy itu disambut dengan
bendera merah oleh kaum musyrikin yang menandakan mereka akan meneruskan peperangan. Api dendam sudah menyala-nyala di jiwa
musyrikin Makkah. Kedua-dua pihak membuat persiapan terakhir. Maka Rasulullah saw menyusun barisan sambil berkhutbah memberi
peringatan tentang etika peperangan yang bakal dihadapi.
Rasulullah menghargai orang bukan Islam
Rasulullah saw bangun memberi taklimat akhir, Apabila tentera Quraisy mendekati kamu, seranglah mereka dengan anak-anak panah
dan jimatlah. Jangan kamu hunuskan pedang sehinggalah mereka menyerbu kamu.
|