Home | Sekatan terhadap kafilah perdagangan Quraisy | Peperangan meletus
SATU SUDUT LAGI MENGENAI PERANG BADAR

Badar ialah peperangan pertama yang dihadapi oleh Nabi Muhammad dalam mengembangkan dakwah Islamiah. Sejarah perkembangan Islam tidak dapat dipisahkan daripada beberapa peperangan yang pernah dialaminya. Namun, umat Islam wajar berhati-hati ketika membicarakan sejarah peperangan itu.

Pernah wujud usaha propaganda Barat yang cuba mengaitkan Islam dengan keganasan. Oleh itu, penceritaan sejarah peperangan yang dihadapi oleh umat Islam mestilah dimulakan dengan sebab dan tujuan peperangan.

Pengkisahan sejarah peperangan umat Islam terdahulu menentang serangan kufur boleh membina jati diri umat Islam mutakhir. Namun ia tidak wajar sekadar membina semangat melulu tanpa memahami kisah yang tersirat sebelum dan selepas sesuatu peperangan.

DAKWAH ISLAMIAH SEBELUM DAN SELEPAS HIJRAH

Era dekad pertama dakwah Islamiah di Makkah menyaksikan dakwah dijalankan secara rahsia dan pertemuan umat Islam untuk mendengar ajaran Rasulullah dilakukan dari rumah ke rumah. Sejarah meriwayatkan rumah Arqam bin Abi Arqam sebagai tempat paling kerap pertemuan dilakukan.

Kaum musyrikin Makkah tidak dpat menghidu aktiviti umat Islam di rumah ini. Sedangkan dalam waktu itu, sesiapa yang dikesan mengikuti dakwah Nabi Muhammad pasti akan diseksa oleh kaum Quraisy Makkah, terutama golongan hamba ataupun yang tidak mempunyai pelindung yang tuannya terdiri daripada bangsawan Quraisy Makkah.

Sikap pilih kasih musyrikin yang memilih bulu dalam menyeksa mangsa ini pun sebenarnya menimbulkan kesangsian orang Makkah yang belum mendekati Islam. Mengapa penyeksaan dan sekatan terhadap umat Islam dilalkukan?

Hijrah Rasulullah ke Madinah yang asalnya dikenali Yathrib membuka lembarab baru dalam lipatan sejarah perkembangan Islam. Di sini dakwah Islamiah dijalankan secara terbuka dan diperkukuhkan dengan perlantikan Nabi Muhammad sebagai ketua negara berperlembagaan yang baru ditubuhkan.

Penerimaan orang Madinah terhadap dakwah dan kepimpinan Nabi Muhammad pun bukanlah secara mendadak, tetapi sebagai lanjutan daripada beberapa siri pertemuan rahsia mereka dengan baginda untuk mengikuti ajaran Islam. Bahkan dua perjanjian telah dimeterai di Makkah beberapa tahun sebelum Hijrah, iaitu Aqabah I dan Aqabah II.

Di Madinah, baginda dilihat sebagai pejuang hak asasi manusia yang mampu menyusun semula struktur masyarakat yang kacau bilau. Sebab utamanya ialah monopoli kuasa ekonomi dipegang oleh korporat Yahudi di Madinah. Sesungguhnya Madinah tidak mempunyai struktur politik saperti di Makkah. Yang berkuasa hanyalah orang yang berharta yang hampir keseluruhannya puak Yahudi.

Hijrah Rasulullah yang hanya berbekalkan sehelai sepinggang bersama Abu Bakar pada malam pengepungan Quraisy di sekitar rumah yang bertujuan untuk membunuhnya menjadi bukti sikap mempertahankan diri baginda dalam menyampaikan dakwah Islamiah. Sebelum itu pun, Umar al-Khattab ketika mula-mula memeluk Islam keluar berbaris beramai-ramai menuju Kaabah untuk mengisytiharkan keislaman mereka.

Penyertaan Omar ke dalam barisan dakwah Islamiah menggembirakan Rasulullah. Bahkan baginda sering berdoa agar diislamkan salah seorang pembesar Quraisy yang bernama Umar, iaitu Umar bin al-Khattab ataupun Amru (Umar) bin Hisyam (Abu Jahal).

Cuma, baginda tidak ghairah dengan cadangan Umar itu. Dua sebab utama yang menghalang Rasulullah daripada menerima cadangan itu ialah umat Islam tidak mempunyai kekuatan dan tidak ada wahyu yang membenarkan mereka menggunakan kekerasan (peperangan ataupun pertempuran).

Sikap baginda ini membuktikan bahawa Islam bukannya dikembangkan dengan bantuan pengaruh orang berkedudukan sahaja. Sebaliknya pengislaman Umar membuktikan bahawa Islam boleh diterima oleh mereka yang berilmu dan bijak menggunakan pertimbangan akal.

Umar memang terkenal sebagai tokoh yang berpendidikan dan bijak, tidak saperti tokoh Quraisy yang lain. Pengislaman beliau tambah menyerlahkan lagi sikap pilih kasih Quraisy kerana tidak ada sesiapa pun yang berani menegur atau menyingkir beliau daripada masyarakat Quraisy, apalagi menyeksa beliau.