NABI MUHAMMAD SAW

Home

MAULUDIL RASUL | BILAL | ISYRAK DAN MIKRAJ | HIJRAH | PERANG BADAR | KEIZINAN BERPERANG | PERANG UHUD | PERANG KHANDAK | MUHAMMAD DAN AISYAH (BAHAYA FITNAH) | KAUM MUNAFIK | KHABAR PROVOKASI | AL FATH (PINTU KEMENANGAN TELAH TERBUKA) | PERJANJIAN HUDAIBIAH | KEMENANGAN GILANG GEMILANG | PERANG HUNAIN | TIGA ORANG DISETEUR | MASJID DIGUNA SARANG PENKHIANAT | AJAKAN | SUAMI ISTERI | PARA ISTERI NABI | ZAINAB BINTI JAHASY
BILAL

Telah datang seorang tamu ke rumah Umaiyah bin Khalaf ketika dia sedang berada di rumahnya menghirup udara pagi yang nyaman.

"Belum sampai kabar kepadamu?" tanya tamu itu.
"Kabar apakah itu?" jawab Umaiyah dengan heran.
"Aku melihat dengan mata kepalaku sendiri, bahawa budakmu yang bernama Bilal, sering sekali datang ke rumah si Muhammad di waktu malam dengan sembunyi-sembunyi. Kadang-kadang di waktu siang hari, kiranya engkau lengah tak mengetahuinya. Melihat gerak-geri dan airmukanya, rupanya dia masuk ke agama baru yang dibawa Muhammad itu dan meninggalkan agama kita, bererti mengenyahkan Tuhan Lata dan Uzza (berhala)."
"Apakah benar khabarmu ini?" tanya Umaiyah dengan cepat. "Cukupkah bukti buktinya?" tanyanya pula.
"Tentu, ini bukan khabar bohong, justru itulah sebabnya saya datang, untuk memberitahu kamu kalau kalau kamu belum tahu, agar engkau bertindak segera terhadap budakmu itu, jangan mencemarkan nama kita yang menjadi tuan-tuan yang berbudak belian, sehingga nama kita akan rosak kerananya," jawab tamunya pula.
Dengan hati yang mengkal dan marah, Umaiyah kembali ke rumahnya seakan-akan tidak tahu apa yang harus dilakukannya, kerana sangat marahnya.
Tidak lama kemudian, Bilal pun datang, lalu berdiri di hadapan Umaiyah dengan agak takut-takut tampaknya. Dengan marah besar, Umaiyah lalu berkata kepada Bilal: "Khabar buruk sudah sampai kepadaku, tentang dirimu. Jangan engkau bersembunyi sembunyi diri kepadaku. Sekarang mengakulah terus terang, benar tidaknya khabar itu. Engkau sering pergi ke rumah Muhammad di waktu malam. Engkau sudah terperosok memasuki agama baru yang dibawa Muhammad, serta meninggalkan Tuhanmu Lata dan Uzza!"
Bilal menjawab dengan tenang: "Bila tuan sudah mendengar khabar itu dan telah mengetahui akan keadaanku ini, maka aku pun tidak akan menyembunyikan hal itu lagi. Memang aku sering kerumah Muhammad, aku percaya bahawa dia adalah Rasul Allah, aku beriman dengan agama yang dibawanya, iaitu Agama Islam yang suci murni."

"Tidakkah engkau tahu," kata Umaiyah kepada Bilal, "bahawa engkau adalah budak belianku? Sejak engkau kubeli dengan wangku, engkau adalah barang kepunyaanku. Aku berkuasa atas seluruh tubuh dan jasadmu. Engkau tidak berhak dan berkuasa apa-apa untuk melanggar keinginan dan kemahuanku atas dirimu, walau dengan cara bagaimana sekalipun!"

Bilal menjawab: "Memang aku adalah budak dan tawananmu. Ini tidaklah kubantah. Kalau aku kau perintahkan mengarungi lautan pasir yang luas didalam keadaan gelap-gulita sekalipun, akan kujalankan. Bila aku diperintah untuk mengangkat batu besar yang seberat-beratnya, akan kuangkat juga. Tetapi akal dan fikiranku, keimanan dan kepercayaanku, bukan menjadi hak dan milikmu, bukan termasuk barang yang engkau beli dariku. Itu tidak akan dapat kau beli dan kuasai. Bahaya apakah terhadap dirimu, sekalipun aku beriman dengan imanku, aku berislam dengan Islamku? Biarkanlah aku beriman dan berislam, sebab hal itu tidak akan mengurangi akan kerja dan tugasku terhadap dirimu.

Dengan marah yang makin memuncak bernyala-nyala, Umaiyah berkata dengan suara yang keras: "Dan hujung rambutmu yang paling atas sampai ke tapak kakimu yang paling bawah, adalah kepunyaanku, jasad dan tubuhmu, akal dan fikiranmu, darah dan dagingmu, itu semuanya kepunyaanku dan harus tunduk kepada apa yang kuingini. Kalau engkau. tidak segera kembali ke agamaku, sekarang juga engkau akan aku seksa sehebat-hebat dan sesakit-sakitnya!"

Sebagai seekor harimau akan menerkam mangsanya, Umaiyah melompat mencekik leher Bilal, kedua tangan dan kakinya lalu diikat erat-erat. Anak nakal kota Makkah lalu dipanggil, diperintahkan memperolok-olok dan melempari Bilal dengan batu. Umaiyah lalu meninggalkannya dalam keadaan yang demikian.

Siangnya, Umaiyah kembali menyeksanya lagi. Tampak ketetapan hati dan iman yang ada dalam dada Bilal, sekalipun sudah mengalami azab dan seksa yang terlalu kejam, sehingga seluruh tubuhnya bengkak dan luka-luka. Sungguh seksa yang bagaimana juga ngeri dan pedihnya terhadap seorang yang sudah demikian kukuh dan kuat iman dan keislamannya, tidak akan berpengaruh apa apa terhadap keimanan dan keislamannya itu. Allah yang selalu tampak oleh hati dan kalbu yang penuh iman itu, telah dapat menahan kepedihan seksa yang demikian ngerinya, seakan-akan tidak terasa samasekali.

Sungguh luarbiasa lazatnya Islam dan enaknya Islam, sehingga keenakan dan kelazatan itu dapat menahan segala cubaan walaupun bagaimana juga hebat dan dahsyatnya.

"Sekarang kamu boleh pilih, akan tetap diazab dan diseksa atau segera kembali menyembah Lata dan Uzza, meninggalkan agama Muhammad!" kata Umaiyah kepada Bilal.

Dengan pandangan mata yang bersinar tajam, menandakan kesediaannya untuk menerima seksaan yang bagaimana juga, walau sampai mati sekalipun, ia menentang mata Umaiyah dengan pandangan ejekannya, kata-kata Umaiyah itu dijawabnya: "Sekalipun anak panah beracun engkau tusukkan ke dadaku, pedang yang tajam engkau sembelihkan ke leherku, engkau tidak akan dapat menguasai dan memerintah akal dan fikiranku, tidak akan dapat mengubah iman dan Islamku yang sudah terpetri; kekuasaanmu yang bagaimana juga kuatnya, hanya akan mengenai badan dan tubuhku, pantang akan dapat mengubah ketetapan hati dan agamaku."

Dia terhenti sejurus berkata-kata. Kemudian dari mulutnya keluar beberapa patah kata-kata: "Ahad...! Ahad... !"* menegaskan, bahawa dia tetap dengan Tuhan yang Maha Esa, tidak akan menyembah Tuhan selain Yang Maha Esa itu.

Besoknya, matahari memancar dengan garangnya, sinarnya terpancar seperti panah-panah yang tajam, seakan-akan membakar padang pasir yang sudah kering dan terik panasnya. Umaiyah datang, lalu Bilal dibawa ke tengah-tengah padang pasir yang panas terik, dimana dia dibaringkan tanpa pakaian ditelentangkan, sedang batu besar dihimpitkan pula di atas dadanya.

Demikianlah seksa yang ditimpakan kepadanya di hari itu. Berbaring di atas pasir Gurun Sahara di bawah panas terik matahari di musim panas, dihimpit batu besar, sehingga tidak dapat bergerak sedikitpun untuk meringankan nasib penanggungannya. Sungguhpun begitu, seguris kecil sekalipun, iman dan Islamnya tidak hergoyang. Dan mulutnya tak pernah keluar keluhan dan jeritan, selain kata-kata: "Ahad, Ahad, Ahad. Dialah Tuhanku, Dialah yang aku sembah, kepadaNya aku menghadap, ke arahNya aku menuju, kepadaNya aku bergantung dan azab yang begini tidak akan dapat mengubah tujuanku.

"Ahad, Ahad, Ahad, Dialah Allah Tuhanku, Maha Esa, kepadaNya aku berlindung din dalam menempuh sengsara seksa yang maha besar.

"Ahad, Ahad, Ahad, Dialah Tuhanku yang telah mengutus Muhammad menjadi utusanNya memberi petunjuk dan kepercayaan, aku senang menjadi salah seorang pengikutnya, pencintanya dan muridnya. Akan aku ikuti dia sekalipun bagaimana juga azab yang akan kutanggungkan."

Dari hari ke hari, semakin hebat juga azab seksa yang ditanggung oleh Bilal. Tetapi dia makin tebal imannya, sedang Umaiyah pun bertambah pula marah dan kejamnya.

Pada suatu hari, Abu Bakar lalu di tempat Bilal diseksa dan ia melihat seksaan itu; Umaiyah sendiri pun berdiri di hadapan Bilal yang sedang diseksanya dengan angkuh dan sombongnya, marah dan geram hatinya. Rasa hiba dan kasihan, memaksa Abu Bakar berkata kepada Umaiyah:

"Tidakkah engkau menaruh perasaan belas dan kasihan melihat budak itu terseksa begitu hebat, dengan seksaan yang tak tertanggungkan lagi? Tidakkah tergerak hatimu mendengar bunyi nafasnya yang demikian sesak dan darahnya yang mengalir itu? Kesalahan apakah gerangan yang telah dibuatnya, dosa apakah yang sudah dikerjakannya?"

Dengan sombong dan angkuhnya dia menjawab: "Ini budakku, punyaku dan milikku sendiri. Aku seksa kalau aku kehendaki, aku lepaskan kalau aku mahu. Adapun salah dan dosanya tidak perlu kau tanyakan. Kalau engkau belas dan kasihan, engkau boleh beli dia dan lalu engkau lepaskan sesukamu. Selama ini menjadi hak milikku, aku akan tetap menyeksa dia dengan seksaan yang lebih kejam, sebelum dia kembali menyembah Lata dan Uzza."

Kesempatan itu dipergunakan Abu Bakar sebaik-baiknya. Bilal dibelinya dan kepada Umaiyah dia berkata: "Mulai saat ini, engkau tidak berhak lagi atas dirinya. Aku merdeka untuk melepaskannya dari seksaan ini. Adapun engkau, ya Bilal, sekarang juga kumerdekakan. Aku berbuat ini semata-mata kerana Allah, Tuhan kita."

Terang perbezaan antara seorang manusia yang bernama Abu Bakar, dengan seorang manusia yang bernama Umaiyah. Perbezaan antara orang yang kafir dan orang yang Mumin. Yang pertama orang baik, sedangkan yang kedua orang jahat. Beginilah perbezaan antara keduanya di dunia, sedangkan di akhirat kelak, akan lebih jelas benar perbezaannya.

* Ertinya: Esa...! Esa...!